Apabila datang Ramadan, jiwa-jiwa yang masih ada sekelumit iman akan tunduk hormat kepada tetamu agung ini.
Yang tidak rajin ke masjid, akan cuba gagahkan diri melangkah ke masjid untuk berterawih. Yang tak pernah buka al-Quran akan meletakkan target khatam. Mereka yang bakhil pun akan berlembut hati mengeluarkan sedekah.
Inilah yang dimaksudkan dengan "dibuka pintu-pintu syurga" dalam sebuah hadis yang menyebutkan kelebihan kedatangan bulan Ramadan, menurut para ulamak. Hati-hati manusia akan lebih cenderung kepada ketaatan, maka pintu syurga akan terbuka untuk mereka.
Juga, mereka yang merokok, terpaksa berhenti sebentar. Yang kuat marah akan jadi lebih sabar. Yang tidak bertudung, akan menutup kepala. Artis-artis seksi pun turut sama keluarkan kenyataan akan berpakaian sopan, demi menghormati bulan puasa.
Inilah juga yang dimaksudkan dengan "ditutup pintu-pintu neraka, dan syaitan akan dirantai." Hati-hati manusia akan lebih cenderung untuk tidak melakukan maksiat, maka pintu neraka akan tertutup buat mereka.
Namun usaha ini perlu diteruskan walaupun setelah berlalunya bulan puasa. Kerana kita hamba Allah, bukan hamba Ramadan.
Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak :)