(Pesta Konvokeysen) pertama
Memperkasa kegemilangan Islam
24 Okt 2011 - Tulisan
khat jawi "BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM" nukilan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di ruang khas Ummul Quran
menjadi mercu tanda bermulanya sejarah penting penghasilan Mushaf Universiti
Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) tulisan tangan anak tempatan sendiri.
Baginda Sultan sendiri kemudiannya akan meneruskan penulisan Surah Al-Fatihah di ruang khas berkenaan sebelum tugas beralih tangan kepada Pensyarah di Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam, UNISSA, Wan Habib Wan Ibrahim yang diamanahkan untuk menyiapkan keseluruhan penulisan Mushaf UNISSA berkenaan dari Surah Al-Baqarah sehingga Surah An-Nas.
Pada Majlis Pelancaran
Penulisan Mushaf UNISSA dan Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj (Pesta
Konvo) Pertama UNISSA pagi ini Baginda Sultan bertitah; "Salah satu mercu
kegemilangan yang sedang kita tempa ialah menggantikan cokmar dengan Mushaf
Al-Qur'an di mana ianya telah dipelopori oleh Universiti Brunei Darussalam
(UBD), UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB).
Lebih menarik dan
tersendiri, Baginda Sultan telah memperkenankan Mushaf Al-Qur'an UNISSA ditulis
oleh anak tempatan, berbanding dengan dua mushaf yang sudah ada iaitu Mushaf
Brunei Darussalam dan Mushaf UBD yang telah ditulis oleh penulis-penulis yang
dipinjam daripada luar negeri.
Baginda Sultan
selanjutnya bertitah, "Adapun penulisan oleh anak tempatan kita, ianya
merupakan 'nilai tambah' kepada sejarah penulisan Mushaf Al-Qur'an di Brunei.
"Ia tentu saja akan
memberi imej tersendiri kepada Brunei dan mampu meletakkannya sebaris dengan
negara-negara Islam lain, yang telah menghasilkan penulisan-penulisan mushaf
mereka masing-masing."
Selain itu Baginda
Sultan juga memberi peringatan akan perlunya penulisan Mushaf UNISSA itu
menepati piawaian ilmiah pentashihan yang turut meliputi aspek seperti
tanda-tanda waqaf, nombor ayat, bentuk huruf, baris dan lain-lain selain perlu
menepati kesahihan tulisan dan motif hiasan-hiasannya.
Menurut Baginda lagi,
kitab-kitab muktabar dalam bidang qira'at dan rasam Al-Qur'an juga mesti
dijadikan rujukan supaya terjamin kesempurnaannya dalam makna, sebarang
kesilapan yang boleh
mengundang kepada kritikan-kritikan ilmiah hendaklah dijauhi.
"Beta gembira dan
bangga jika kesemua acara dan program yang disusun, di mana acara kemuncaknya
ialah 'Istiadat Pelancaran Penulisan Mushaf Al-Qur'an UNISSA' itu telah
menepati lunas-lunas Islam tulen."
Pada majlis di Pusat
Persidangan Antarabangsa, Berakas itu Baginda Sultan bertitah memberi
peringatan, "Janganlah seperti setengah pihak, cuma dalam bahasa ia
indah, mahukan kualiti rohani berteraskan Melayu Islam Beraja (MIB) tetapi
jadinya bukan MIB."
Baginda Sultan bertitah
lagi, "Melalui Mahrajan atau Pesta Konvo pertama UNISSA ini, perlulah
didedahkan sebanyak acara dan program yang berfaedah untuk melatih para
mahasiswa dan mahasiswi bagaimana bertindak dan berfikir secara bijaksana,
bukannya hanyut dengan keseronokan-keseronokan melulu yang mematikan hati.
"Semua orang
sangat ghairah bercakap mengenai 'identiti'. Namun dalam masa yang sama bukan
semua orang bersikap konsisten mengagungkan identiti melainkan kadang-kadang
ada juga yang mencemarkan identiti walaupun baru sebentar bercakap mengenai
identiti," titah Baginda Sultan lagi.
Baginda seterusnya
menitahkan bahawa tema Mahrajan atau Pesta Konvo UNISSA yang berbunyi
'Memperkasa Kegemilangan Islam' itu akan benar-benar menepati sasaran.
"Akhirnya Beta
tidak lupa merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua yang
berkenaan khasnya ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Penulisan Mushaf Al-Qur'an
Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang telah mengambil inisiatif menjayakan
usaha besar ini.
|
Baginda Sultan
lancarkan penulisan Mushaf UNISSA
|
Tinta sejarah ternukil
lagi hari ini menerusi hujung pena di celah jari Canselor Universiti Islam
Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah pada majlis pelancaran
Penulisan Mushaf UNISSA.
Kalimah
"Bismillahirrahmanirrahim' ditulis Baginda Sultan di dada lembaran
ruangan khas Ummul Quran Mushaf UNISSA menjadi tanda rasmi bermulanya
penulisan Mushaf UNISSA itu.
Sejurus selepas itu,
Baginda Sultan berkenan merasmikan Mahrajan Hafl al-Takharruj yang pertama di
Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas yang sekali gus melakar sejarahnya
tersendiri.
Duli Yang teramat
Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah
dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah
Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah turut berkenan berangkat ke majlis
itu.
Berangkat sama ialah
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja
Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka
Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang
Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan Yang
Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik.
Keberangkatan Baginda
Sultan serta kerabat diraja yang lain ke majlis itu dijunjung Menteri
Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr
Haji Abu Bakar Haji Apong.
Baginda Sultan
berkenan menyampaikan titah sebelum melancarkan Mushaf UNISSA serta
merasmikan Mahrajan Hafl al-Takharruj yang pertama.
Majlis disemarakkan
lagi dengan ceramah khas oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri
Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Abdul Aziz bin Juned sebelum
keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain ke ruangan pameran.
|