Monday, May 10, 2010

Kreativiti guru penting ketika pembelajaran peringkat rendah

Dr Haji Kassim melancarkan eXPLOMATHS ke-18.

Sebahagian murid-murid yang menghadiri majlis itu.
Dr Haji Kassim menyaksikan pameran matematik mini.

TUTONG, Isnin - Kreativiti guru adalah amat penting dalam pembelajaran khususnya bagi murid di peringkat rendah kerana sebahagian besar daripada mereka masih berada di tahap concrete operational dan masih sukar untuk memahami sesuatu yang bersifat abstrak.

Bagaimanapun, menerusi penggunaan ICT di bilik darjah akan dapat membantu guru menerangkan konsep dengan lebih mudah, menarik perhatian serta menjadikan pembelajaran lebih seronok.

Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Junaidi Haji Abdul Rahman berkata, penggunaan ICT merentas kurikulum perlu dimaksimumkan kerana ICT adalah keperluan masa ini dan juga mempunyai pelbagai permainan atas talian yang mencabar serta menyeronokkan yang boleh dimuat turun bagi digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

"Guru-guru cuma perlu bijak memilih permainan atau kegiatan atas talian yang bersesuaian dengan topik yang diajarkan oleh mereka," katanya semasa berucap merasmikan eXPLOMATHS Ke-18 yang diadakan di Sekolah Rendah Muda Hashim, Tutong 1, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan, Dr Haji Kassim Haji Daud.

Menurut Dr Haji Junaidi, kaedah pembelajaran begitu adalah jauh lebih menarik dan interaktif serta lari dari kebiasaan kaedah pembelajaran, chalk and talk.

Katanya, kegiatan Cabaran Laluan Maths yang merupakan acara utama eXPLOMATHS 2010 adalah kegiatan yang amat menarik kerana ia memberikan keseronokan kepada pelajar dan memberikan peluang kepada mereka berkongsi idea serta pengetahuan dalam satu pasukan untuk menyelesaikan tugasan yang disediakan.

Dr Haji Junaidi turut menekankan bahawa keseronokan itu adalah penting kerana apabila pelajar berasa seronok maka minat dan keinginan mereka terhadap mata pelajaran berkenaan akan meningkat khususnya mata pelajaran penting serta mencabar seperti matematik.

Sebilangan pelajar beranggapan bahawa mata pelajaran Matematik adalah pelajaran yang susah dan anggapan yang salah itu boleh memberikan implikasi negatif terhadap pencapaian mereka di bilik darjah. Mereka harus peka bahawa mata pelajaran Matematik bukan setakat satu subjek yang perlu dipelajari bagi tujuan akademik dan peperiksaan sahaja tetapi ia mempunyai kepentingan dalam kehidupan seharian.

Pertandingan eXPLOMATHS ke-18 dikendalikan oleh Pusat Sains, Teknologi dan Kerjasama Alam Sekitar yang dianjurkan bersama oleh Sekolah Rendah Muda Hashim dan Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong dengan sokongan dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd.

Pertandingan itu dihasratkan untuk membantu pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam bilik darjah keluar bilik darjah dan secara langsung membolehkan pelajar untuk menyatupadukan aspek matematik yang dipelajari dengan kepentingan matematik dalam kehidupan seharian.

Pertandingan itu juga berperanan untuk meningkatkan minat dana keinginan pelajar untuk mempelajari mata pelajar Matematik bukan sahaja sebagai mata pelajaran dalam sekolah tetapi bagi kegunaan kehidupan seharian.

Di majlis berkenaan, Dr Haji Kassim turut menyampaikan risalah mengenai eXPLOMATHS ke-18 kepada wakil-wakil pemimpin Sekolah dan membuat lawatan menyaksikan pameran matematik yang diadakan oleh pelajar-pelajar sekolah.



No comments:

Post a Comment

Bilik Persidangan 1 Pada 30hb oktober 2017 Hari Isnin Jam 9.00 am ...